27 Ogos 2008

Skim Gaji Doktor-Doktor Perubatan Kerajaan

3. Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah kementerian akan mencadangkan kepada kerajaan supaya skim gaji doktor-doktor perubatan kerajaan diberi seperti gaji pegawai-pegawai di syarikat GLC untuk mengurangkan mereka berhijrah ke sektor swasta. Adakah kerajaan telah membuat kajian tentang sebab sebenar kekurangan doktor-doktor perubatan kerajaan?

Timbalan Menteri Kesihatan [Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad]: Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membayar gaji pegawai-pegawai perubatan sama seperti gaji pegawai-pegawai di syarikat-syarikat rangkaian kerajaan atau dengan izin GLC bagi mengurangkan mereka berhijrah ke sektor swasta. Walau bagaimanapun, kerajaan telah mengemukakan cadangan perkhidmatan pegawai perubatan termasuk gred gaji permulaan yang lebih baik dalam skim perkhidmatan tersebut.

Bagi menjawab soalan seterusnya, kajian yang komprehensif tidak pernah dilakukan secara saintifik. Walau bagaimanapun, kita sedia untuk mengadakan kajian secara saintifik jika perlu kerana kita kuat berpendapat bahawa mereka yang meletakkan jawatan khususnya pegawai-pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan tidak ketara lagi. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ini soalan dasar Yang Berhormat. Dasar sudah dijawab, apa soalan tambahan yang hendak diberi ini? Yang Berhormat dari Ledang.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Masih dasar lagi Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Seperti mana kita sedia maklum, perkhidmatan doktor ini terbahagi kepada dua di sektor perkhidmatan awam. Satu, perkhidmatan kesihatan...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak mengapa Yang Berhormat. Soalan tambahan Yang Berhormat...

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Ini soalan tambahanlah ini. Satu, perkhidmatan kesihatan dan yang keduanya, perkhidmatan perubatan. Doktor yang berada di dalam sektor perkhidmatan kesihatan ini, biasanya dia sampai bersara, pangkat tinggi dan sebagainya. Berbanding dengan di sektor perubatan di hospital dan sebagainya, mereka berhenti dan berhijrah ke tempat lain.

Soalan saya, berasaskan kepada isu ini ialah bukan gaji, tetapi isunya ialah karier. Apakah kerajaan akan menubuhkan satu Suruhanjaya Gaji seperti polis, tentera dan badan berkanun bagi semua kakitangan dan pegawai perubatan serta kesihatan supaya satu skala gaji yang lebih wajar dengan insentif yang lebih menarik pada masa yang akan datang untuk membela golongan mereka? Akan tetapi saya hendak mengucapkan terima kasih kepada semua sektor dan semua pekerja, doktor di dalam sektor perkhidmatan kesihatan ini...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Okey, terima kasih Yang Berhormat. Pendekkan soalan Yang Berhormat.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: ...yang banyak membantu kita termasuk Tuan Yang di-Pertua. Sekian, terima kasih.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Tuan Yang di-Pertua, cadangan Yang Berhormat daripada Ledang itu amat baik.

Sebenarnya Yang Berhormat Menteri sudah pun mengarahkan kementerian untuk melihat sama ada sudah tiba masanya untuk kita menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Perubatan. Ini adalah kerana seperti Ahli-ahli Dewan sedia maklum, majikan kepada pegawai-pegawai di Kementerian Kesihatan adalah JPA. Bagi Kementerian Kesihatan, ia mempunyai pelbagai sektor skim perkhidmatan. Kalau di JPA, Ia menguruskan 200 lebih skim perkhidmatan, tetapi dalam Kementerian Kesihatan, 120 skim yang diwujudkan oleh JPA itu adalah di dalam Kementerian Kesihatan.

Moto kita adalah ‘Berkhidmat Dengan Penyayang, Beretika Dan Berpasukan’. Oleh sebab itu, kalau kita melihat hanya kepada pegawai perubatan sahaja tanpa melihat pasukan yang membantu dan menyokong keterampilan seseorang pakar itu, dia tidak akan berjaya. Ini adalah kerana pakar itu, dia berjaya disebabkan sokongan yang diberikan bukan sahaja oleh doktor tetapi juga oleh pegawai sains dan juga pegawai-pegawai yang lain. Terima kasih.

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan saya adalah berkaitan dengan jururawat. Bilakah kali terakhir gaji mereka disemak dan adakah atau tidak mereka ini memperoleh elaun-elaun kritikal kerana seperti mana kita sedia maklum, jururawat juga terdedah kepada risiko-risiko berhadapan dengan pesakit yang pelbagai.

Saya juga ingin mendapatkan maklumat sekiranya ada dimasukkan di dalam Belanjawan yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini, kajian semula terhadap gaji dan elaun-elaun khusus kepada jururawat. Terima kasih.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Tuan Yang di-Pertua, soalan Yang Berhormat Bachok itu amat bagus, tetapi mengikut Peraturan Mesyuarat 24(3) dia terkeluar dan saya mohon izin menjawab kepada beliau di luar Dewan. Terima kasih. [Dewan riuh]

Tiada ulasan: