27 Ogos 2008

MARA Tarik Penyertaan Ekspo Makanan Halal

2. Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan mengapa pihak MARA membuat keputusan menarik balik penyertaan Ekspo Makanan Halal yang diadakan di Kelantan pada 26 Julai 2008 yang mana pada awalnya pihak MARA bersetuju menyewa 60 lot tapak ekspo tersebut. Apakah keputusan tersebut adalah keputusan politik kerana Kelantan adalah di bawah pemerintahan Kerajaan PAS.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi [Dato’ Haji Noh bin Haji Omar]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat daripada Bebas, Kelantan yang bertanyakan soalan yang begitu penting bagi rakyat negeri Kelantan. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Ekspo Makanan Halal Kelantan adalah merupakan sebuah ekspo bagi Konvensyen dan Karnival Halal Kelantan 2008 yang dianjurkan oleh syarikat swasta iaitu Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan (PKINK) yang telah diadakan pada 23 hingga 29 Julai 2008. MARA membuat keputusan untuk tidak menyertai ekspo tersebut kerana MARA sendiri mempunyai pelbagai program promosi dalam usaha memberi pendedahan dan membantu meningkatkan bilangan usahawan dalam bidang makanan halal seperti di MIHAS, Gerak Usahawan, Showcase Usahawan, MARA Products Fairs dan lain-lain yang keadaan dan matlamatnya sama dengan ekspo tersebut.

Program-program tersebut juga diadakan di beberapa tempat di setiap negeri termasuk di Kelantan. Program-program ini melibatkan penyertaan ramai usahawan tempatan terutamanya dalam bidang makanan halal. Dengan itu tumpuan seharusnya diberi kepada program-program anjuran MeCD dan MARA sendiri di dalam mempromosikan produk-produk usahawan seperti mana yang telah dilakukan di semua negeri yang lain. Oleh itu keputusan MARA tersebut adalah wajar dan bertepatan dengan strategi penyertaan dan penggunaan bajet yang terbatas dalam menguruskan perbelanjaan secara berhemah. Terima kasih.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Adakah Yang Berhormat sedar bahawa kawasan Pasir Mas khususnya dan Rantau Panjang adalah kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan pembangunan hab halal di bawah pembangunan Koridor Wilayah Timur. Oleh itu, adakah pihak MARA bercadang untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan hab halal di Pasir Mas ini dengan pihak MARA menjadikan acara tahunan menganjurkan Ekspo Makanan Halal di kawasan yang saya sebutkan tadi iaitu di Pasir Mas dan juga Rantau Panjang. Adakah MARA tidak bercadang untuk pada masa akan datang walaupun ada program sendiri, apabila dianjurkan oleh pihak swasta ataupun kerajaan negeri turut mengambil bahagian dalam mempromosikan makanan halal dalam konteks pembangunan usahawan. Sekian, terima kasih.

Dato' Haji Noh bin Haji Omar: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Untuk makluman Yang Berhormat, setiap kali apabila MARA mengambil bahagian di dalam apa jua pameran ataupun ekspo yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, pihak MARA akan memberikan subsidi kepada penyertaan. Sebagai contoh, di negeri Kelantan tempoh hari satu booth harganya RM1,300 dan MARA biasanya akan memberikan subsidi sehingga 60%. Oleh yang demikian MARA akan terus mengadakan program-program keusahawanan ini terutamanya mengenai mempromosikan produk-produk halal. Dalam program MARA kita memang ada rancangan untuk mengadakan program Gerak Usahawan dan juga pameran halal hab ini di kawasan Yang Berhormat di Pasir Mas.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setakat Ogos 2008 di negeri Kelantan sahaja MARA telah menganjurkan sebanyak 26 program usahawan yang melibatkan 2,788 usahawan bumiputera dan kos yang telah dibelanjakan oleh MARA untuk mempromosikan usahawan negeri Kelantan sehingga Ogos 2008 ialah sebanyak RM246,000. Terima kasih.

Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. dan terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan saya, memandangkan Yang Berhormat Menteri mahu pendekatan proaktif bagi memaju dan menghasilkan produk makanan halal ini dalam usaha kita mendapatkan daya saing dan mutu yang begitu tinggi, maka pembangunan halal hab yang telah dicadangkan telah dicadangkan oleh kerajaan terutamanya di kawasan sempadan di Kelantan, Perlis dan Perak. Jadi, saya ingin tahu kedudukannya hingga setakat ini, selain daripada pembangunan idea komersial yang dicadangkan oleh kerajaan dalam kita membangunkan makanan halal ini untuk menjadi tarikan kepada negara-negara Islam terutamanya dengan negara-negara Timur Tengah, apakah progress yang telah dicapai oleh pihak kerajaan dalam usaha memastikan halal hab ataupun halal terminal ini dapat kita jalankan dengan lancar bagi mencapai hasrat ini. .1020

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Terima kasih Yang Berhormat daripada Arau. Memang benar seperti mana Yang Berhormat nyatakan bahawa kerajaan hari ini memberikan perhatian kepada produk-produk halal kerana kita tahu bahawa sambutan dan juga kegunaan produk halal di peringkat antarabangsa amat meluas dan merupakan satu pasaran yang begitu baik sekiranya kita dapat mempromosikan dan memperbanyakkan keluaran produk halal ini.

Untuk makluman Yang Berhormat, kita sudah maklum bahawa kerajaan telah pun menubuhkan Halal Industry Development Corporation atau HDC. Ini menunjukkan bahawa kerajaan kita begitu serius untuk mempromosikan produk halal ini dan dengan adanya Halal Industry Development Corporation ini, maka ia akan dapat memainkan peranan yang lebih penting. Di samping itu agensi-agensi yang lain seperti MARA akan terus memberikan kerjasama dengan Halal Industry Development Corporation ini.

Sebagai langkah yang pertama, MARA dan juga HDC telah mengadakan perbincangan untuk kita mewujudkan collection house di mana kita akan cuba mengumpulkan produk-produk halal ini di satu pusat untuk memudahkan kita mengeksport barang-barang halal ini keluar negara. Terima kasih.

Tiada ulasan: