27 Ogos 2008

Keberkesanan Program 'Suria 1000'

5. Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam] minta Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi menyatakan:-

(a) apakah maklum balas awam dan keberkesanan Program ‘Suria 1000’; dan

(b) apa perancangan untuk memperluaskan program itu ke seluruh negara.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi [Dato’ Joseph Salang anak Gandum]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Simpang Renggam, berhubung dengan soalan pertama, Program ‘Suria 1000’ adalah di bawah Projek Malaysian Building Integrated Portal Baltic atau MBIPB yang bertujuan mempromosi dan menggalakkan penggunaan tenaga solar dalam penjanaan tenaga elektrik.

Projek MBIPB menyasarkan penjanaan elektrik dari sumber tenaga solar berjumlah 1,500 kilowatt di sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan iaitu dari tahun 2006 – 2010. Program ‘Suria 1000’ yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 22 Jun 2007 akan memberi peluang kepada orang ramai untuk memasang sistem solar di rumah kediaman ataupun bangunan masing-masing bagi menjana tenaga elektrik daripada cahaya suria.

Melalui program ini, tenaga elektrik yang dihasilkan daripada sistem solar tersebut boleh digunakan terus bagi mengurangkan bil tenaga elektrik serta dijual kepada pihak utiliti bagi sebarang lebihan elektrik yang tidak dapat digunakan oleh seseorang pemaju projek.

Program ‘Suria 1000’ menyasarkan pemasangan jumlah kapasiti 1,200 kilowatt sistem solar yang disambung kepada gred, di mana sebanyak 7 pusingan pendaftaran akan dibuka di antara awal tahun 2007 sehingga pertengahan tahun 2010. Semenjak ia dilancarkan, 3 pusingan permohonan telah pun dilaksanakan, di mana sebanyak 50 permohonan merangkumi kediaman dan bangunan di seluruh Malaysia telah pun diluluskan dengan kapasiti berjumlah 261 kilowatt berbanding sasaran awal sebanyak 190 kilowatt.

Pada masa yang sama, satu Program Suria khusus untuk pemaju perumahan turut dilaksanakan di mana keputusannya baru sahaja diumumkan pada 14 Ogos yang lepas.

■1030

Melalui program tersebut, tiga buah syarikat pemaju perumahan iaitu Bandar Eco Setia Sendirian Berhad, Senandung Budiman Sendirian Berhad dan Amarin Wickham Sendirian berhad sedang membina sebanyak 56 buah unit rumah kediaman yang akan dilengkapi panel-panel solar sebagai bumbung-bumbung rumah kediaman tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, semenjak Program Suria 1000 dilancarkan harga kos seunit atau unit cost system BIPB telah menurun sebanyak 14%. Adalah diharapkan agar program ini akan dapat merangsang perkembangan industri tenaga solar tempatan bagi terus mengurangkan kos sistem tersebut dan membolehkannya mampu dimiliki oleh ramai lagi rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan soalan kedua, Program Suria 1000 dirancang untuk merangkumi seluruh Malaysia. Walau bagaimanapun, sehingga kini para pemohon yang berjaya adalah tertumpu di sekitar Lembah Klang. Pada masa yang sama, pihak Tenaga Nasional Berhad dan Sarawak Energy Berhad telah pun bersetuju untuk membeli tenaga elektrik suria yang dijana pada kadar tarif elektrik yang sedia ada. Ini akan menggalakkan lagi sambutan terhadap program ini. Bagi memperkenalkan Program Suria 1000 ke seluruh negara...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Panjang lagi Yang Berhormat?

Dato' Joseph Salang anak Gandum: Tak berapa banyak. Beberapa promosi melalui pengiklanan di media cetak telah diadakan dan sambutan yang telah diterima adalah menggalakkan. Projek MBIPB juga telah mendapat perhatian dari orang ramai dan pihak media di mana beberapa jemputan temu ramah telah diterima dan beberapa artikel yang berkaitan dengan solar PB dan projek MBIPB telah disiarkan di media tempatan dan antarabangsa. Adalah dijangkakan projek ini akan terus mendapat sambutan yang baik memandangkan pencapaian melebihi sasaran setakat ini.

Di samping itu, kementerian pada masa ini sedang merangka pelan tindakan tenaga boleh diperbaharui di mana tenaga solar merupakan salah satu daripada tenaga boleh diperbaharui yang dikenal pasti selain daripada biomas, biogas, mini hidro dan sisa buangan pepejal yang berpotensi untuk dibangunkan bagi penjanaan elektrik di negara ini. Di bawah pelan tindakan tersebut, terdapat mekanisme bagi membolehkan orang-orang awam dan entiti perniagaan terlibat secara langsung dalam penjanaan tenaga melalui solar PB. Sehubungan ini, adalah dijangkakan penglibatan semua pihak dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui secara amnya akan meningkat. Terima kasih.

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya telah pun melayari laman web Suria 1000 ini dan saya mendapati bahawa ramai yang berjaya mengambil bahagian dalam projek ini adalah orang kaya yang kebanyakannya penduduk banglo. Jadi saya ingin tanya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Terima kasih.

Dato' Joseph Salang anak Gandum: Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan. Memang betul pada masa ini kebanyakan yang menerima program ini dan melancarkan projek-projek di bawah program ini adalah orang yang berada. Ini adalah kerana kos pembinaan masih tinggi dan oleh yang demikian kerajaan dengan sokongan daripada UNDP dan pengilang-pengilang photovoltaic ini sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos supaya ia dapat sama-sama dinikmati oleh orang yang berpendapatan rendah dan juga yang berpendapatan sederhana. Buat masa ini, kita masih menganggap kos pembiayaan photovoltaic dan sistem MBIPB masih tinggi. Terima kasih.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya hendak tanya adakah kerajaan betul-betul serius dan adakah kementerian ini sedar kerana solar energy yang merupakan renewable energy yang sangat diguna pakai di negara-negara barat termasuk di India juga banyak digunakan di mana solar energy datang dengan free dan renewable energy. Akan tetapi nampaknya kementerian tidak ada satu blueprint untuk membawa satu pembaharuan dalam arena ini.

Saya difahamkan Tuan Yang di-Pertua bahawa kementerian ini dan LLN, Lembaga Lektrik Negara adalah di antara satu faktor di mana tidak ada pelancaran yang penuh mengenai solar energy. Mereka membantah kerana ada kerugian akan terjadi jika solar energy digunakan dengan luasnya. Apakah rancangan kerajaan supaya semua mana-mana bangunan kerajaan sekurang-kurangnya bangunan Parlimen ini boleh ada solar energy supaya kita tidak perlu memberi tunjuk ajar kepada orang lain. Parlimen should be the first dan bangunan-bangunan kerajaan should be more intelligent. Kita patut harness God gift, wealth ini.

Dato' Joseph Salang anak Gandum: Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Barat. Kerajaan memang bersungguh-sungguh hendak menggalakkan penggunaan tenaga suria tetapi sebagaimana yang saya jelaskan tadi, oleh kerana kosnya masih tinggi dan dibandingkan dengan tarif elektrik yang kita sedia ada iaitu oleh kerana elektrik kita adalah disubsidikan oleh kerajaan. Sekiranya Yang Berhormat mencadangkan supaya kita gugurkan subsidi yang ada kepada gas untuk penjanaan elektrik di negara ini, maka penggunaan tenaga suria akan lebih kompetitif lagi dari pada masa sekarang.

Pada masa sekarang banyak program untuk menggunakan tenaga suria oleh beberapa agensi dan begitu juga kerajaan memang bersungguh-sungguh untuk cuba mengurangkan kos penggunaan ataupun penjanaan dari tenaga suria. Sebagaimana Yang Berhormat telah cadangkan bagi bangunan Parlimen itu kita sama-sama cuba minta kerajaan untuk...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Suruh buat House Committee dulu Yang Berhormat.

Dato' Joseph Salang anak Gandum: ...memasang panel-panel solar di bangunan Parlimen supaya kita dapat menikmati elektrik yang dikeluarkan dari tenaga suria. Berkenaan tuduhan mengenai Tenaga Nasional Berhad yang menghalang orang memasang, photovoltaic itu tidak betul. Memang tidak tepat Yang Berhormat. Sebagaimana yang telah saya sebut dalam jawapan asal saya tadi iaitu Tenaga Nasional Berhad dan Sarawak Energy Berhad telah pun bersetuju untuk membeli tenaga keluaran dari MBIPB. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, kalau ada cadangan Yang Berhormat Ipoh Barat masukkan dalam House Committee. House Committee akan pertimbangkan dan kita bincang dengan kerajaan. Yang Berhormat Tuan N. Gobalakrishnan.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Permatang Pauh

Tiada ulasan: