27 Ogos 2008

Jimat Air - Guna Air Hujan

1. Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan:

(a) sama ada kementerian bercadang untuk menjadikan dasar bagi pengutipan air hujan di setiap kawasan perumahan yang baru; dan
(b) apakah usaha kementerian untuk menggalakkan masyarakat untuk berjimat air.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Datuk Robert Lau Hoi Chew]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat dari Putatan. Buat masa ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau KPKT tidak bercadang untuk mengubah apa-apa dasar atau akta mewajibkan penggunaan air hujan. Walau bagaimanapun, KPKT kini dalam proses penyediaan garis panduan baru mengenai pelaksanaan sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan atau SPA untuk menggalakkan penggunaan air hujan bagi kawasan pembangunan baru.


Tuan Yang di-Pertua, antara beberapa projek perintis SPA yang telah dilaksanakan dengan jayanya ialah Kompleks Membeli-Belah One Utama dan projek perumahan di Sandakan, Sabah. Kerja-kerja projek ini yang dilaksanakan atas inisiatif pemaju dan pembeli pembangunan adalah selaras dengan garis panduan yang telah disediakan oleh KPKT sebelum ini. Usaha yang telah diambil untuk KPKT dalam menggalakkan masyarakat untuk menjimatkan air adalah seperti berikut:

  1. mengesyorkan supaya pihak berkuasa tempatan atau PBT dan pengeluar pan tandas tempatan supaya menggalakkan penggunaan sistem dua simbahan atau duo flush, dengan izin atau sistem satu simbahan dengan kuantiti air setiap simbahan tidak melebihi 6 liter bagi menjimatkan penggunaan air;
  2. menggalakkan PBT supaya menggunakan peralatan yang boleh menjimatkan penggunaan air seperti penggunaan bilik air automatik atau dilengkapi dengan sistem sensor terutama di tandas-tandas awam; dan
  3. membantu PBT dalam kempen kesedaran awam mengenai penjimatan air.

Sekian.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Soalan tambahan, Tuan Yang di-Pertua. Saya agak kecewa dengan jawapan timbalan menteri tadi kerana telah menyatakan tidak ada cadangan untuk mengubah apa-apa akta dalam kementerian, soal pembangunan di kawasan perumahan. Tuan Yang di-Pertua, jika kita lihat dengan adanya pengutipan air hujan ini, ini akan mengurangkan penggunaan air yang ditapis yang agak mahal untuk menapisnya. Kalau kita tengok, kalau kita lihat cara penggunaan air di setiap unit.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Soalannya, Yang Berhormat.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Ini soalanlah ini. Ini perlu diperjelaskan, Tuan Yang di-Pertua, kalau tidak, dia tidak faham soalan tambahan saya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Timbalan menteri faham, dia faham.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Ya. Jadi kalau kita lihat peratusan yang akan digunakan, yang diconsume oleh manusia sendiri hanya tidak lebih daripada 10%. Yang lain itu air yang kita gunakan seperti membasuh kain, cuci kereta dan kepada tanam-tanaman di taman-taman kita. Ini harus kita kira. Soalan tambahan, adakah pihak kementerian boleh melihat di luar kotak, cara penggunaan air yang kita tapis yang harganya begitu mahal seperti apa yang berlaku air hujan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, jangan panjang sangat, Yang Berhormat. Sudah panjang, Yang Berhormat Timbalan Menteri faham.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Belum lagi. Ada soalan yang kedua ini. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak ada, Yang Berhormat. Ikut peraturan, satu soalan tambahan sahaja, Yang Berhormat.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Kalau begitu saya akur. Terima kasih.

[Ketawa]

Datuk Robert Lau Hoi Chew: Terima kasih Yang Berhormat dari Putatan. Ini sahabat sayalah. Saya ingin ucap terima kasihlah kerana Yang Berhormat begitu prihatin dengan penjimatan air di negara kita. Walaupun sampai sekarang kementerian saya belum bercadang untuk ganti akta untuk mewajibkan menjimatkan air di negara kita, tetapi kementerian saya telah bincang dengan wakil badan profesional, wakil kerajaan, National Hydraulic Research Institute of Malaysia, Real Estate Housing Developer’s Association atau REHDA, NGO, PBT dan perhatian daripada projek perintis kategori penggunaan seperti berikut iaitu:

  1. seperti pasar;
  2. bangunan institusi;
  3. kompleks membeli-belah;
  4. kompleks sukan;
  5. semua pembangunan campuran yang bertindak atas nama landed property atau semua bangunan kediaman; dan
  6. pejabat bertingkat lima tingkat dan ke atas.

Masalahnya ialah kalau kita wajibkan untuk semua rumah kediaman termasuk rumah teres semi-D dan banglo sekarang ini, mungkin kosnya lebih tinggi. Menurut cadangan atau komentar daripada Real Estate and Housing Developers Agency (REHDA), kalau kita pasangkan kemudahan untuk mengumpul air hujan sudah tentulah kosnya akan naik dan ini sudah tentu dikenakan kepada pembeli rumah. Kita akan mengeluarkan garis panduan untuk bangunan-bangunan seperti yang saya sebutkan tadi mungkin lebih berkesan dalam kos dan volume atau kuantiti air hujan yang di kumpul. Sekian.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, adakah kementerian Yang Berhormat mempunyai iltizam ataupun langkah-langkah proaktif untuk menjimatkan air ini, maknanya kita menggunakan teknologi terkini tentang air kumbahan. Negara jiran kita, Singapura, berjaya menggunakan teknologi ini apabila New Water digunakan hingga ke tahap dijadikan air minuman. Saya tidak bercadang supaya air kumbahan ini dijadikan air minuman tetapi untuk tujuan pembersihan lantai yang digunakan oleh kebanyakan PBT. Jadi, adakah kementerian Yang Berhormat bercadang untuk menggunakan teknologi air kumbahan ini untuk kerja-kerja sebagai contohnya pembersihan awam. Ini bertujuan untuk mengambil langkah-langkah menjimatkan air dalam negara kita. Terima kasih.

Datuk Robert Lau Hoi Chew: Terima kasih, Yang Berhormat. Ini memang teknologi yang baru yang mana kementerian saya telah terima cadangannya dari dalam dan luar negeri namun kosnya amat tinggi. Oleh kerana itu walaupun kita belum mewajibkan semua pemilik rumah untuk mengumpul air hujan tetapi kami telah melaksanakan program-program terutamanya kita akan mengadakan lebih banyak kempen yang menggalakkan ataupun meningkatkan kesedaran sivik tentang kepentingan penggunaan air hujan. Kalau kita bandingkan dengan Singapura, ini cerita lainlah. You cannot compare apple and orange, dengan izin, kerana mereka ini negara yang pulau sahaja. Saya rasa walaupun cadangan ini baik tetapi kita perlu menimbang dari segi kosnya supaya pembeli rumah tidak dikenakan bayaran kos tambahan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baiklah, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Cukuplah, sudah dua kali diulang-ulang fasal kos itu

Tiada ulasan: