27 Ogos 2008

Bukti Pertumbuhan Sektor Perkhidmatan - Kesan Ekonomi Dunia

14. Dr. Tan Seng Giaw [Kepong] minta Menteri Kewangan menyatakan bukti yang mendorong sektor perkhidmatan mencapai pertumbuhan 8.5% setahun termasuk prestasi subsektornya perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran. Setakat manakah kesulitan ekonomi dunia menjejaskan sektor ini.

Timbalan Menteri Kewangan II [Dato' Kong Cho Ha]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat pertumbuhan ekonomi negara telah dipacu oleh perkembangan kukuh dalam semua sektor ekonomi yang diterajui oleh sektor perkhidmatan. Sektor perkhidmatan telah berkembang dengan pesat sebanyak 8.5% setahun dalam tempoh 2006-2007. Sektor ini juga merupakan penyumbang terbesar kepada GDP negara dengan jumlah peratus sumbangan sebanyak 52.8% setahun dalam tempoh yang sama. Perkembangan ini mencerminkan anjakan secara beransur struktur ekonomi negara yang berasaskan pembuatan kepada perkhidmatan.

Penubuhan sektor perkhidmatan yang memberangsangkan ini didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang berkembang 9.8% setahun. Manakala subsektor penginapan dan restoran tumbuh 8.4% setahun disokong terutamanya oleh pertumbuhan pesat dalam industri pelancongan. Subsektor lain yang turut menyumbang kepada perkembangan sektor perkhidmatan adalah subsektor kewangan dan insurans yang berkembang 8.4% setahun. Manakala subsektor harta tanah dan perkhidmatan perniagaan pula meningkat 14.2% setahun.

Prestasi subsektor perdagangan borong dan runcit serta penginapan dan restoran yang menggalakkan ini adalah selaras dengan perbelanjaan penggunaan swasta yang teguh disokong oleh pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, kecergasan aktiviti perdagangan runcit dan peningkatan jumlah ketibaan pelancong seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2007. Pada tahun 2007 jumlah ketibaan pelancong meningkat 19.5% kepada 20.9 juta pelancong dengan jumlah pendapatan sebanyak RM46.1 bilion ringgit. Jumlah pendapatan yang tinggi ini diperoleh hasil daripada perbelanjaan pelancong asing bagi aktiviti membeli belah yang meningkat 31.5% kepada RM12.3 bilion. Manakala perbelanjaan bagi penginapan pula melonjak 10.9% kepada RM14.2 bilion.

Kerancakan aktiviti runcit juga didorong oleh perbelanjaan pengguna tempatan yang lebih tinggi disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil serta kedudukan kredit pengguna yang menggalakkan. Nilai jualan serta perdagangan borong mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9% kepada RM161 bilion pada tahun 2007 berbanding RM140.1 bilion yang dicatatkan pada tahun 2006. Bagi tempoh yang sama juga nilai jualan sektor runcit meningkat 33.7% kepada RM95.8 bilion berbanding dengan RM71.7 bilion diperolehi pada tahun 2006.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat meskipun ekonomi tempatan berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar seperti kelembapan ekonomi Amerika Syarikat berikutan krisis sub prima, harga komoditi global yang terus meningkat dan ketidakpastian yang berterusan dalam pasaran kewangan global. Pada suku pertama tahun 2008 sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 8%. Namun begitu sebagai sebuah negara perdagangan yang terbuka persekitaran luar yang tidak menentu pasti memberi kesan kepada sektor perkhidmatan. Walau bagaimanapun kesan ini dijangka minimum berikutan kepelbagaian asas ekonomi yang menjadikan negara mampu berhadapan dengan ketidaktentuan yang ada sekarang.

Meskipun sentimen pengguna dan perniagaan terjejas sedikit pada tahun 2008 penggunaan swasta masih teguh disokong oleh peningkatan pendapatan, kakitangan awam, bayaran rebat, subsidi, pasaran kerja yang kukuh, harga komoditi yang tinggi dan tahap pelaburan domestik dan asing yang menggalakkan. Bagi keseluruhan tahun 2008 momentum pertumbuhan sektor perkhidmatan dianggap masih kukuh dan disokong oleh penggunaan swasta dan aktiviti berkaitan perdagangan serta pelancongan. Sekian, terima kasih.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua soalan tambahan. Walaupun jawapan itu begitu panjang lebar kita nampak usaha-usaha misalnya untuk pelancongan dan sebagainya walaupun disebutkan RM46.1 bilion pendapatan untuk 2007 Tahun Melawat Malaysia. Saya nampak usaha itu mesti dipertingkatkan lagi tidak mencukupi -memang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun adakah Yang Berhormat sedar bahawa bila kita pergi berjumpa para peruncit, para pemborong kita nampak mereka bagi tahu saya kekurangan perniagaan itu 50% sampai 70%.

Dan kalau yang dikatakan sekarang masih suku yang pertama tahun ini, iaitu bidang borong dan runcit itu masih 8% pertumbuhan. Saya pun hairan juga. Kalau macam itu apakah sebenarnya yang berlaku dan bolehkah Yang Berhormat bagi kita tahu suku yang kedua bagi nilai borong dan nilai runcit sekarang, dan adakah sektor perkhidmatan ini akan kekal pada 8.5% tahun ini dan juga memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi pada keseluruhannya dianggarkan masih 6%? Memang saya nampak masih tinggi...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik Yang Berhormat sudah panjang banyak soalan. Cukup Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Satu soalan sambungan sahaja itu.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tiga soalan sambungan Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri jawab.

Dato' Kong Cho Ha: Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Memang ekonomi yang dijanakan oleh pelancong ini memang adalah penting dan kita sudah pun ada banyak langkah untuk menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita untuk melancong, untuk membeli-belah dan sebagainya. Jadi untuk sektor pelancongan kalau kita membandingkan angka dari tahun 2006 dan 2007 untuk penginapan sahaja, untuk tahun 2006 adalah 20% dan untuk tahun 2007 lebih kurang 11%. Dan angka membeli- belah pertumbuhannya ialah untuk tahun 2006 adalah 40% peningkatan dan untuk tahun 2007 peningkatannya adalah 31.5%.

Dan untuk sektor-sektor yang melibatkan pelancong juga seperti makanan, minuman, pengangkutan domestik, hiburan, penerbangan domestik dan sebagainya. . 1130

Semua ini menunjukkan perkembangan yang amat memuaskan khasnya pada tahun 2007 bila kita mengadakan Tahun Melawat Malaysia tetapi untuk suku tahun pertama memang apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat, perkembangan itu masih menggalakkan tetapi untuk suku tahun yang kedua, mungkin ada kelembapan. Ini juga disebabkan oleh rising cost yang diakibatkan oleh peningkatan kos minyak dan sebagainya tetapi untuk angka suku tahun yang kedua, saya memang belum ada angka yang tertentu lagi. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: