27 Ogos 2008

Bagunan Sekolah Bahaya - Kuching

10. Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching] minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah tindakan yang akan diambil atas masalah dua bangunan bilik darjah di SMB Kuching High, Kuching yang telah diiktiraf sebagai “bangunan yang bahaya” dan sama ada tindakan tersebut akan disegerakan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran II [Dato' Razali bin Ismail]: Tuan Yang di-Pertua, pertamanya saya nak menjelaskan SMB Kuching High, memang betul itu “B” itu maksudnya Sekolah Menengah Bantuan Kuching Tinggi tetapi yang bakunya di Kementerian Pelajaran ialah SMK Kuching.

Untuk makluman Yang Berhormat, SMK Kuching High adalah berstatus sekolah bantuan kerajaan. Memandangkan tanah bangunan sekolah bukan milik kerajaan, maka segala perancangan untuk membangun dan membaik pulih bangunan sekolah ini adalah di bawah tanggungan Lembaga Pengurus Sekolah. Ini kerana menurut peraturan tanah, sesebuah bangunan yang dibina di atas tanah hak milik individu atau sesebuah agensi maka bangunan tersebut menjadi hak milik tuan punya tanah tersebut.

Maka atas dasar ini, KPM, Kementerian Pelajaran Malaysia tidak memberi peruntukan pembangunan sepenuhnya kepada sekolah bantuan kerajaan kerana bangunan tersebut kepunyaan tuan tanah dan Kementerian Pelajaran tidak ada hak di atas penyelenggaraan bangunan tersebut. Bagaimanapun dari segi peruntukan pengurusan, ia adalah merupakan tanggungjawab Kementerian Pelajaran.

Pihak Lembaga Pengurus Sekolah telah memohon membina semula blok makmal sains junior yakni blok kayu. Saya pernah melawat ke sekolah ini dan saya tahu keadaan keuzuran blok kayu yang mengandungi empat makmal sains dengan menggantikan dengan satu blok bangunan tiga tingkat yang mengandungi enam makmal.

■1100

Secara dasarnya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia tiada halangan terhadap permohonan pihak LPS tersebut. Sebelum kerja pembinaan dimulakan, pihak LPS perlu berusaha mendapatkan dana yang mencukupi sekurang-kurangnya 80% daripada kos projek di samping mendapat restu dan kelulusan pihak berkuasa tempatan tentang pembinaan sekolah tersebut.

Pihak LPS juga telah mengemukakan permohonan, bantuan modal daripada Jabatan Pelajaran Sarawak bagi menampung kos pembinaan blok bangunan yang diperlukan. Permohonan berkenaan sedang diteliti oleh Jabatan Pelajaran dan akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan yang selanjutnya. Untuk makluman Yang Berhormat juga pada bulan Mac 2008, Sekolah Menengah Kuching High juga telah menerima peruntukan khas sebanyak RM200,000 daripada Unit Penyelenggaraan, Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, ICU JPM.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tadi mengenai dasar yang dikatakan, dasar kerajaan bahawa hak tanah itu bukan di bawah nama kerajaan. Oleh itu, kerajaan tidak dapat beri bantuan atau tidak dapat beri peruntukan untuk membangunkan bangunan di atas tanah itu.

Saya fikir ini adalah satu dasar tidak adil dan apakah kata Yang Berhormat Timbalan Menteri. Ini adalah satu dasar diskriminasi dan kenapa semasa pilihan raya peruntukan akan diberikan kepada sekolah-sekolah SJK(C) atau sekolah bantuan tetapi selepas pilihan raya, secara dasar tidak boleh memberi peruntukan dan di Permatang Pauh, RM1.5 million sudah diberi.

Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Soalan, soalan.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Bukan. Saya mempersoalkan. Soalan saya adalah saya mempersoalkan dasar kerajaan. Kenapa ada diskriminasi di antara sekolah bantuan atau sekolah kerajaan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak ada diskriminasi Yang Berhormat. Jawab menteri.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Ada diskriminasi. Soalan saya belum habis.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Jangan berceramah Yang Berhormat.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Saya tidak berceramah.

Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Tidak beri tanah itu adil kah? Tidak beri tanah kepada kerajaan itu adil?

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Ini kerana jawapan yang diberi itu memang tidak memuaskan. Ini adalah secara polisi diskriminasi Kerajaan Barisan Nasional.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Menyampuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Semasa pilihan raya boleh beri peruntukan. Selepas pilihan raya, tidak boleh kerana tanah itu dimiliki oleh agensi-agensi lain. Soalan saya apakah rasionalnya? Ini kerana, tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri kata 8 Mac 2008 ada peruntukan RM20,000. Itu adalah untuk memancing undi di Bandar Kuching tetapi Barisan Nasional masih kalah.

Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka]: Memang betul. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang

Berhormat.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Oleh itu, saya fikir...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat sudahlah Yang Berhormat. Jangan macam ini Yang Berhormat. Dengarlah cakap Yang di-Pertua sedikit. Yang Berhormat ini tunjuk jaguh macam ini, tidak baik.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Itu bukan jaguh.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Bukan jaguh.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Buat tanya soalan Yang Berhormat . You tengok pada surat peraturan Yang Berhormat. Saya faham ...

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Okey. Yang Berhormat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Okey, tidak payah lagi. Menteri sudah tahu soalan itu. Duduk Yang Berhormat.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Soalannya, apakah rasionalnya? Itu yang saya hendak minta.

Beberapa Ahli: Duduk, duduk.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Cukup Yang Berhormat, cukup Yang Berhormat.

Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak payah lagi. Banyak ceramah dah.

Dato’ Razali bin Ismail: Okey, persoalannya apakah rasionalnya. Soalan itu adalah tidak rasional.

Seorang Ahli: Ya.

Dato’ Razali bin Ismail: Jawapannya, soalan tidak rasional dan dia tidak faham tentang status tanah itu sendiri, Kerajaan sebenarnya tidak pula menyebut bahawa tidak memberi sebarang bantuan. Itu adalah merupakan suatu statement yang glaring rasional dan tidak betul. Ya, saya kira ini tidak patut dilayani. Sesungguhnya di sini, saya telah sebut bahawa Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan RM100,000 juta untuk membiayai sekolah-sekolah batuan kerajaan.

Apakah Yang Berhormat tidak sedar? Memang memberi ini merupakan sifat Kerajaan Barisan Nasional. Sifat Kerajaan Barisan Nasional is a giver. Kita memberi tidak kira di mana tegah. Ini merupakan kuasa yang dimiliki oleh kerajaan yang memerintah.

Kemudian satu perkara juga yang perlu difahami di sini untuk membolehkan sekolah ini mendapat bantuan penuh kerajaan. Maka, ia perlukan kepada PA, atau pun power of attorney ataupun surat kuasa yang harus diberikan kepada kementerian untuk menyelenggarakan dari segi pembangunan secara keseluruhannya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ini soalan di Bandar Kuching Yang Berhormat. Sekolah SMB Bandar Kuching. Jadi, Yang Berhormat pernah pergi sana tidak untuk soal.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua, soalan ini berhubung dengan bangunan yang bahaya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ini spesifik Yang Berhormat. Sekolah Bandar Kuching Yang Berhormat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yalah, tetapi berkaitan dengan bangunan yang bahaya Tuan Yang di-Pertua. Izinkan...

Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka]: Tidak berkaitan, tidak berkaitan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya tidak beri Yang Berhormat. Ini Sekolah Bandar Kuching.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Tiada ulasan: