27 Ogos 2008

Hasil Petroleum Negara

7. Tuan Ahmad Maslan [Pontian] minta Menteri Kewangan menyatakan berapa peratus dan jumlah sumber pendapatan negara yang bergantung kepada hasil petroleum mengikut tahun sejak 2004. Benarkah angka terkini melebihi 45% dan apakah langkah-langkah yang mesti diambil bagi memastikan kerajaan tidak terlalu bergantung kepada hasil yang akhirnya akan kehabisan.

Timbalan Menteri Kewangan II [Dato’ Kong Cho Ha]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat, hasil berkaitan petroleum yang terdiri daripada cukai pendapatan petroleum, dividen, royalti petroleum, duti eksport, cukai jualan, duti import dan lain-lain bagi tempoh tahun 2004 hingga tahun 2007 adalah seperti berikut:

Tahun

Hasil (RM bilion)

Peratus hasil kerajaan

2004

24.9

5

2005

31.6

29.7

2006

45.8

37

2007

51.4

36.8

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sedar dan faham tentang hasil petroleum yang akhirnya kehabisan. Oleh kerana itu, kerajaan selama ini telah melabur dan cuba mempelbagaikan ekonomi dan sumber pendapatan kita supaya tidak terlalu bergantung kepada hasil petroleum. Langkah-langkah seperti:

(i) menyediakan persekitaran kondusif bagi aktiviti perniagaan dan pelaburan melalui pelaksanaan langkah-langkah mesra pasaran seperti liberalisasi peraturan pertukaran asing dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah;

(ii) mengambil langkah berterusan untuk meningkatkan sistem penyampaian awam bagi tujuan mengurangkan kos pengendalian perniagaan;

(iii) menarik pelaburan langsung asing atau FDI untuk mempercepatkan kemajuan aktiviti teknologi tinggi seperti perwujudan Multimedia Super Corridor, Bio-Nexus dan lain-lain;

(iv) memperkembangkan pembangunan sumber pertumbuhan baru di dalam sektor perkhidmatan untuk memperluaskan lagi asas ekonomi dan mengekalkan ketahanan ekonomi negara terutamanya bertransformasi dari ekonomi yang mengutamakan pembuatan kepada berasakan perkhidmatan;

(v) memodenkan sektor pertanian dengan meningkatkan produktiviti serta daya saing melalui kegiatan menambah nilai dan menggunakan teknologi moden untuk jaminan sekuriti makanan;

(vi) melabur dalam pendidikan untuk menjana sumber manusia berkualiti; dan

(vii) melabur dalam kemudahan asas kemudahan infrastruktur dan utiliti. Sekian, terima kasih.

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Peratus yang disebut tadi adalah dari Petronas dan jika Petronas berusaha mencari gali minyak di luar negara, kemungkinan kita akan masih dapat lagi hasil minyak. Apakah strategi kerajaan untuk menggalakkan usaha mencari gali seumpama itu termasuk bagaimanakah potensi kemungkinan ada telaga minyak baru di negara kita.

Dato’ Kong Cho Ha: Terima kasih Yang Berhormat Pontian. Sebenarnya Petronas adalah penyumbang utama hasil petroleum kepada negara kita dan angka-angka yang saya sebutkan tadi, kebanyakan adalah sumbangan terdiri dari Petronas dan Petronas pada masa sekarang telah pun melabur dalam sektor oil dan gas di 37 negara seluruh dunia dan kegiatan Petronas ini telah pun banyak membawa keuntungan dan pulangan kepada pelaburan kita di negara-negara lain. Ini untuk jangka masa panjang akan menambah lagi pendapatan dan hasil kepada negara kita. Sekian, terima kasih.

Tuan Pua Kiam Wee: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan selalu mengaitkan pencapaian dan perkembangan ekonomi di Malaysia selama ini, tiap-tiap tahun ada 5%, 6% perkembangan GDP tetapi adakah ianya benar bahawa ekonomi asas Malaysia sebenarnya telah merosot kerana kalau kita tidak included, tidak memasukkan sumbangan daripada hasil Petronas ekonomi kita sebenarnya akan merosot dan hasil daripada Petronas ini sebenarnya tidak meningkatkan produktiviti di negara kita kerana hasil ini meningkat hanya kerana harga minyak antarabangsa telah meningkat dengan dahsyat sekali dan bukan kerana produktiviti negara kita telah meningkat.

Adakah ini menunjukkan ketidakpuasan antara rakyat kita kerana kerajaan kata ekonomi kita adalah amat baik tetapi semua rakyat rasa gaji kita tidak naik dan harga terus naik. Terima kasih.

Dato’ Kong Cho Ha: Terima kasih Yang Berhormat Petaling Jaya Utara. Sebenarnya angka yang kerajaan bagi berkenaan dengan kadar pertumbuhan dan lain-lain, itu kita tidak boleh tipu. Itu adalah angka yang sebenar dan ia setiap tahun kita menunjukkan pertumbuhan yang begitu memuaskan sekali.

Walau bagaimanapun, ekonomi negara kita seperti ekonomi di mana-mana negara bergantung kepada ekonomi dunia dan kalau ekonomi dunia merosot di merata tempat, negara kita juga akan merasa kemerosotan yang sama. Namun apa yang menggalakkan kita adalah pada masa sekarang, sektor perkhidmatan menunjukkan perkembangan yang begitu baik sekali yang menyumbang lebih kurang 52%. GDP negara kita yang ia merangkumi pelancongan, perhotelan, restoran dan sebagainya. Jadi saya juga percaya bahawa kalau kestabilan politik keadaan negara kita itu lebih stabil, ia akan menambah baikkan ekonomi.

Tuan Pua Kiam Wee: Dari ekonomi kepada politik pula.

Dato’ Kong Cho Ha: Memang ekonomi bergantung kepada politik jadi saya percaya oleh kerana itu pada masa sekarang mungkin tidak menentu oleh kerana keyakinan pelabur asing, pelancong dan sebagainya oleh huru-hara yang direka oleh pihak pembangkang.

Tiada ulasan: