27 Ogos 2008

Lahad Datu Sebagai Future Shipping Hub

13. Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [Silam] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah usaha-usaha pihak kementerian untuk menjadikan Lahad Datu sebagai ‘a future shipping hub for vegetable oils’ di bawah Projek Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) yang merupakan ‘cluster’ kelapa sawit yang pertama di Asia, demi membangunkan Daerah Lahad Datu menjadi ‘Rotterdam of the East’.

Timbalan Menteri Pengangkutan [Datuk Seri Panglima Lajim Ukin]: Tuan Yang di-Pertua. Untuk maklum Dewan yang mulia ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia ketika ini tidak mempunyai rancangan untuk menjadikan Lahad Datu sebagai shipping hub di bawah Projek Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit ataupun (POIC). Sekian.

Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [Silam]: Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Soalan tambahan saya, tidak adakah perancangan kerajaan kalaupun jawapan tadi iaitu secara drastik? Ini adalah sebab kita melihat Pelabuhan Lahad Datu adalah salah satu pelabuhan yang dalam di negeri Sabah. Jadi tidak adakah rancangan pihak kementerian untuk mempertimbangkan supaya Pelabuhan Lahad Datu dan termasuk Kudat juga dalam kawasan Parlimen Silam untuk dijadikan sesuatu yang saya sebutkan sebagai ‘Rotterdam of the East’? Terima kasih.

Datuk Seri Panglima Lajim Ukin: Tuan Yang di-Pertua, seperti mana yang saya jawab tadi bahawa Kementerian Pengangkutan ataupun Kerajaan Persekutuan belum mempunyai rancangan untuk berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, oleh kerana Pelabuhan Lahad Datu ini adalah di bawah bidang kerajaan negeri dan jika sekiranya kerajaan negeri ingin membesarkan atau membina pelabuhan yang baru, terpulang kepada kerajaan negeri.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, walaupun kementerian ataupun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung, tetapi dalam Projek POIC ini, Kerajaan Persekutuan telah terlibat untuk memberikan geran sebanyak RM153 juta kepada Projek POIC. Itulah sebahagian daripada sumbangan yang dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membiayai sebahagian besar Projek-projek POIC terutama sekali untuk membina prasarana jalan raya, air, elektrik dan sebagainya. Terima kasih.

Datuk Wilfred Majilip Bumburing [Tuaran]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri mengenai dengan masa depan POIC di Lahad Datu. Oleh kerana begitu besar pelaburan yang telah dibelanjakan bagi projek ini, memandangkan keadaan harga minyak mentah kelapa sawit begitu melambung dan masa depan projek bio diesel yang bakal diletakkan di POIC ini tidak begitu menjaminkan., Adakah kerajaan meneruskan pembangunan POIC di Lahad Datu? Terima kasih.

■1120

Datuk Seri Panglima Lajim Ukin: Tuan Yang di-Pertua untuk menjawab soalan Ahli Yang Berhormat dari Tuaran. Sebenarnya POIC ini adalah di bawah kerajaan negeri, iaitu di bawah anak syarikat kerajaan negeri. Dan pada masa kini ada dua syarikat telah pun membangunkan bio-diesel dan dijangka pengeluaran bio-diesel ini apabila siap nanti, kilang dia sudah siap ialah sebanyak 250,000 tan setahun. Sama ada projek ini maju atau tidak, saya tidak mempunyai data, kerana ianya di bidang kerajaan negeri, tidak ada kena-mengena dengan Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun sebagai negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional, Kerajaan Persekutuan dapat membantu seperti mana yang saya umumkan sebanyak RM153 juta untuk menguruskan dan membekalkan perkara-perkara yang perlu dibekalkan di kawasan POIC. Terima kasih.

Tiada ulasan: