27 Ogos 2008

Perundingan Konsesi IPP dan Tol

11. Tengku Razaleigh Hamzah [Gua Musang] Minta Perdana Menteri menyatakan oleh kerana kenaikan harga barang-barang perlu membebankan terutama sekali golongan berpendapatan rendah tidak mungkinkah kerajaan berunding semula dengan pemegang konsesi IPP dan lebuh raya untuk meringankan beban kos hidup yang bertambah-tambah sekarang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Tan Sri Amirsham A. Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah dapat menyediakan lebuh raya yang baik, lebuh raya kelas pertama dan juga perkhidmatan elektrik yang baik dan juga kelas pertama. Di samping itu dapat juga mengawal harga tol dan tarif elektrik supaya dapat semua rakyat terutamanya semua rakyat yang berpendapatan rendah menikmati perkhidmatan itu.

Kerajaan dari masa ke semasa telah berjaya merundingkan beberapa perjanjian konsesi yang bertujuan untuk menstruktur semula kadar tol termasuk menangguhkan kenaikan kadar tol bagi meringankan beban rakyat,. Berdasarkan penstrukturan kadar tol, beberapa opsyen dapat digunakan untuk mengurangkan kadar tol. Antaranya ialah menggunakan perkongsian hasil tol, memanjangkan tempoh konsesi, memansuhkan pinjaman mudah kerajaan dan sebagainya.

Langkah-langkah ini telah berjaya dilaksanakan dalam lebuh raya seperti Lebuh Raya Damansara-Punchong, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Utara Selatan dan sebagainya. Selain itu, kerajaan juga dari masa ke semasa menggalakkan syarikat konsesi lebuh raya bertol untuk mewujudkan beberapa kadar tol yang berbeza bagi dikenakan kepada pengguna lebuh raya bertol berdasarkan waktu penggunaan lebuh raya berkenaan antaranya kadar tol yang berbeza seperti semasa musim perayaan utama, waktu puncak atau peak period dengan izin,

dan tidak puncak dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, prinsip perundingan hendaklah berdasarkan kepada terma dan syarat-syarat perjanjian konsesi dan sebarang pertimbangan kerajaan yang hendak dibuat berdasarkan keputusan bersama kerajaan dan syarikat konsesi serta bukan berdasarkan unilateral decision, dengan izin.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah memutuskan pada 4 Jun 2008 untuk menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 atau Windfall Profit Levy Act 1998 ke atas IPP sebagai sumbangan mereka terhadap kenaikan kos bahan api untuk mejana tenaga elektrik. Sebagai maklum balas kepada keputusan tersebut, IPP telah mencadangkan alternatif-alternatif lain untuk merunding semula Power Purchase Agreement, PPA. Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan IPP diberikan masa sehingga 30 Jun 2009 untuk memuktamadkan rundingan semula PPA dengan kerajaan. Sekiranya rundingan semula PPA dapat dimuktamadkan, ia akan dapat membantu mengekalkan tarif elektrik kepada pengguna pada kadar yang berpatutan walaupun terdapat peningkatan kos bahan api. Sekian. .1110

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Ini memang satu soalan yang baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]:

[Menyampuk]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Ya saya memang baik kerana kita mahu. Apa masalah Yang Berhormat Padang Rengas sekarang?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat sudah baca soalan tadi Yang Berhormat?

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Memang sudah baca. IPP dan sebagainya. [Beberapa ahli ketawa] Soalan yang baik dan jawapan pun ada setengah-setengah itu boleh munasabah jugalah. Walau bagaimanapun, saya nampak Yang Berhormat berkata tadi untuk rundingan dengan IPP ini, secara alternatif untuk pre purchase agreement ini akan tamat pada 30 Jun.

Mengapakah tempoh itu begitu panjang kerana masalah kita ini sekarang?. Sampai bulan sembilan hadapan. Sementara itu, apakah jumlah subsidi yang kita bagi kepada IPP sekarang melalui gas dan petrol dan sebagainya? Gaslah terutamanya. dan Yang Berhormat Padang Rengas ini setuju dengan subsidi kepada IPP. Itulah masalah kita.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat soalan Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Ketawa] Soalan itu, apakah amaun subsidi yang kita ada dan bolehkah rundingan ini dibawa lebih awal lagi? Ini kerana satu jam kemudian banyak berlaku., banyak berlaku dan langkah-langkah diambil oleh pihak kerajaan pun kita tidak nampak sangatlah. Ada satu dua itu nampak kesan tetapi kebanyakannya belum kita dapat lihat kesan lagi.

Tan Sri Amirsham A. Aziz: Terima kasih dengan soalan itu. Pertama saya ingin menjelaskan bahawa walaupun rundingan untuk IPP ini diberi sampai 30 Jun 2009, untuk sementara waktu itu kita telah mengenakan levi windfall tax. Jadi kerajaan telah mula mengutip windfall tax untuk dapat kita meringankan lagi beban rakyat.

Bagi soalan tambahan yang kedua ialah berkenaan dengan subsidi IPP.iaitu Berkenaan dengan harga gas. Harga gas yang diberi oleh Petronas untuk IPP adalah pass through. Maksudnya tidaklah subsidi untuk IPP Construction Holder, ia ialah subsidi untuk rakyat seterusnya. Jadi maksudnya, dari tahun 1997 hingga Mac 2008 ini, jumlah subsidi yang Petronas telah beri untuk gas yang digunakan bagi sektor elektrik ialah RM62.6 bilion. Akan tetapi RM62.6 bilion ini adalah terus diberi kepada Tenaga Nasional Berhad dan terus diberi kepada rakyat menerusi takrif yang rendah. Jadi tidaklah subsidi yang diberikan kepada penjana elektrik.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, IPP ini kalau di baca daripada laporan prestasi kewangan mereka telah menunjukkan mereka untung besar. Sangat besar dan sehinggakan daripada IPP inilah membolehkan mereka menjadi gergasi dalam dunia perniagaan.

Seorang Ahli: Soalan!

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Jadi saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. IPP-IPP ini sama ada mereka telah pun memperoleh pelaburan yang mereka laburkan dan sudah berapa banyak untung yang telah mereka peroleh supaya kita mendapat gambaran yang jelas apabila power purchase in agreement ini disemak semula, ia menunjukkan bahawa kita tidaklah bertujuan untuk menganiaya IPP tetapi sudah mengetahui dengan pasti mereka telah memperoleh pelaburan mereka kembali dengan keuntungan yang munasabah. Sekian, terima kasih.

Tan Sri Amirsham A. Aziz: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Dari segi keuntungan IPP, saya tidak ada dia punya angka-angka. Akan tetapi kalau memang anggapan kita pun waktu kita mengenakan windfall profit tax ini ialah untuk mendapatkan kembali keuntungan-keuntungan yang berlebihan dari pihak-pihak IPP, supaya dapat kerajaan menggunakan wang yang dikutip daripada windfall tax ini untuk diberikan kepada rakyat dengan cara takrif yang rendah untuk

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Takrif tidak turun pun.

Tan Sri Amirsham A. Aziz: Takrif yang diberi untuk rakyat memang adalah takrif yang rendah. Dari segi 70% daripada pengguna-pengguna elektrik yang menggunakan kurang daripada 200 kilo hour untuk sebulan. Waktu Jun dulu kita tidak naikkan harga takrif itu.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Windfall tax lepas takrif naik.

Tan Sri Amirsham A. Aziz: Jadi, subsidi perundingan semula ini yang dicadangkan ialah juga untuk mendapatkan jangka masa panjang supaya dapat kita menyempurnakan harga yang baik untuk pengguna-pengguna.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan juga Dewan Rakyat,. Kita harus juga menghormati perjanjian yang telah ditandatangani oleh pihak kerajaan dengan pihak IPP dan juga pihak Tenaga Nasional Berhad sewaktu IPP dijalankan dulu. Kita tidak bolehlah sewenang-wenangnya membuat unilateral election...

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Yang Berhormat Menteri janji dengan rakyat.

Tiada ulasan: